Cara Najib urus ekonomi lemah, bidas PKR

naik
PETALING JAYA – PKR hari ini menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga petrol bagi RON95 dan diesel naik 20 sen sebagai kegagalan Perdana Menteri mentadbir ekonomi negara dengan baik.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, jika dilihat kepada perkembangan terbaru ekonomi serantau dan kedudukan kewangan negara yang semakin lemah, timbul pelbagai keraguan negatif terhadap perdana menteri untuk mentadbir ekonomi negara.

“Kalau kita lihat kepada laporan Fitch, prospek ekonomi negara telah menjadi negatif iaitu pertama kali ia berlaku dalam sejarah negara yang melihatkan kadar kebergantungan negara yang semakin tinggi tanpa ada jalan penyelesaian.

“Mata wang ringgit telah hilang nilainya dan susut mendadak dalam tempoh sebulan yang lepas serta pertumbuhan ekonomi negara yang tidak mencapai sasaran sejak 15 tahun berturut-turut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan menaikkan harga bahan api itu sebagai salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Namun menurut Rafizi, kerajaan perlu membuat satu pelan ekonomi yang menyeluruh bagi menangani tiga masalah utama ekonomi negara .

“Saya berharap Perdana Menteri dapat menangani masalah keberhutangan kerajaan yang tinggi sehingga menjejaskan masa depan negara.

“Menangani keborosan kerajaan berbelanja sehingga melebihi pendapatan (belanjawan defisit) selama 15 tahun berturut-turut.

“Serta meningkatkan daya saing ekonomi negara yang semakin malap,” katanya.

Oleh itu, Rafizi menyifatkan tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara sebaliknya memberi bebanan berganda terhadap rakyat.

“Fakta-fakta ekonomi telah membuktikan bahawa tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi.

“Sebaliknya akan memberi kesan kepada golongan sederhana dan miskin,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>