
JOHOR BAHRU: Seorang warga emas dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh bekas isterinya pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan Mesnayo Longdi, 69, membunuh Demeh Tinak, 44, kerana cemburu.
“Sepatutnya tertuduh tiada hak untuk mempunyai perasaan cemburu ke atas mangsa kerana sudah berpisah dengan mangsa.
“Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas pertuduhan kes itu, dan dengan ini, mahkamah mendapati kamu bersalah,” katanya.
Mesnayo yang juga warga Indonesia tetapi sudah memperoleh taraf penduduk tetap, kelihatan tergamam apabila Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadapnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah sewa mangsa di Jalan Seniman 2, Kampung Seri Serdang, Batu 6, Tampoi pada 2.40 petang, 16 Mac tahun lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Mesnayo didakwa melakukan kesalahan itu bersama Amir Che Muda, 31.
Bagaimanapun, Amir dilepas dan dibebaskan pada 30 Januari lalu selepas mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Mengikut fakta, Mesnayo tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bercerai dengan Demeh yang bekerja sebagai tukang urut tradisional, enam bulan sebelum kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Chong Sai Oe. – BERNAMA
Comments
Powered by Facebook Comments
Related posts: