70,000 bekas polis darurat bakal terima sagu hati khas RM3,000

KUALA LUMPUR: Lebih 70,000 bekas anggota polis darurat yang bertugas antara 1948 dan 1962 di Semenanjung serta 1962 hingga 1974 di Sabah dan Sarawak bakal menerima sagu hati khas sebanyak RM3,000.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembayaran sagu hati khas itu sedia untuk dilaksanakan dan permohonan bagi mereka yang layak boleh dibuat dengan menghubungi KDN.

Pembayaran itu akan dibuat kepada bekas anggota pasukan Special Constabulary (SC), Home Guard (HG), Auxiliary Police (AP), Extra Police Constable (EPC), Border Scout (BS), Jungle Scout/Squad (JS), Police Field Force Reservist (PFFR) dan Sarawak Constabulary (SWC), katanya.

Beliau berkata, bagi anggota yang meninggal dunia, balu atau duda masing-masing layak memohon sebagai waris pengganti, bagaimanapun permohonan perlu disertakan dengan borang akuan status pemohon yang disahkan ketua kampung atau ketua polis di balai terdekat.

Mahmood berkata, mereka yang layak boleh mengemukakan tuntutan dan permohonan boleh dibuat dengan memuat turun borang dari laman sesawang www.moha.gov.my atau menghubungi Bahagian Hal Ehwal Bekas Anggota Polis dan Penjara (HP) di talian (03) 88868583, 88868193, 88868584 atau 88868000.

Pembayaran sagu hati khas itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>